diantara kita masih tidak mengetahui pengertian sebenar Hari Hol dan tertanya-tanya mengapa Negeri Pahang cuti pada 7 Mei setiap tahun.
Sebenarnya, Kamus Dewan telah mendefinisikan bahawa Hol bermaksud kenduri arwah yang diadakan setahun sekali.
Dalam konteks ini, Hari Hol di Pahang merupakan hari memperingati kemangkatan keluarga diraja di negeri ini.
Hari Hol diisytiharkan sebagai cuti umum di Pahang bermula tahun 1974 bagi memperingati kemangkatan Sultan Pahang keempat, Al-Marhum Sultan Sir Abu Bakar Riayatuddin Al-Muadzam Shah iaitu ayahanda Sultan Ahmad Shah pada tanggal 7 Mei 1974.
Baginda mangkat di Istana Peninjau, Pekan pada usia 70 tahun setelah memerintah negeri Pahang selama 42 tahun.
Sejarah Ringkas Mengenai Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah
1. Duli Yang Maha Mulia Al-Marhum Sultan Abu Bakar Ri’ayatuddin Al-Mu’adzam Shah Ibni Al-Marhum Sultan Abdullah Al-Mu’tasim Billah telah diputerakan pada 29 Mei 1904 bersamaan 14 Rabi’ul Awal Tahun 1322 Hijrah.
Baginda merupakan putera kepada Al-Marhum Sultan Abdullah dengan Che Kalsum bt Abdullah.
2. Baginda sentiasa menjelajah ke seluruh pelusuk negeri, daerah, kampung- kampung untuk bersama-sama dengan rakyat jelata. Baginda juga turut menyokong proses untuk mendapatkan kemerdekaan untuk Tanah Melayu pada ketika itu.
Ketika pemerintahan Baginda jugalah telah lahir ramai pendekar-pendekar yang handal di negeri Pahang.
3. Di zaman pemerintahan Baginda, bermulalah mercu tanda pembangunan Negeri Pahang moden, di mana perubahan dari segi politik dan sosial berlaku dengan cukup pesat walaupun dengan kemaraan Tentera Jepun di Tanah Melayu ketika Perang Dunia Kedua.
4. Kepesatan pertumbuhan ekonomi seperti perlombongan bijih timah, emas dan perladangan getah berlaku pada zaman pemerintahan Baginda sejurus selepas Kemerdekaan Tanah Melayu.
Semasa pemerintahan Baginda juga, ibu negeri Pahang yang pada ketika itu Kuala Lipis, telah dipindahkan ke Kuantan.
Sebagai seorang Raja Pemerintah yang sangat prihatin atas segala hal ehwal berkaitan perkembangan agama Islam di Negeri Pahang, Baginda telah mengambil beberapa langkah untuk kemajuan dan kebangkitan agama. Di antaranya, pada Mac 1950 menubuhkan Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Pahang, menghidupkan kembali jawatan Mufti kerajaan kepada jawatan Kadi Besar serta mewujudkan sebuah Sekolah Arab Tinggi dengan nama Kuliah Al-Lughah Waddin Al-Sultan Abu Bakar Pahang dalam tahun 1941.
5. Baginda merupakan seorang Raja pencetus kemodenan atau pembawa arus perubahan di dalam sejarah Negeri Pahang moden. Banyak adat-adat yang tidak bersesuaian pada masa itu ditinggalkan. Baginda mengikut dan bergerak menurut masa dari segi pemikiran, pemerintahan dan memimpin rakyat.
Oleh: Admin laman web wanrosdy.com